http://i1248.photobucket.com/albums/hh491/ai_sya1/assalamualaikum6_zps90417d2c.png

Tuesday, June 4, 2013

Tawakkal =)

Tawakal adalah sifat terpuji yang tertinggi. Ia adalah ibadah hati. Tawakal itu dirasai. Zahirnya tidak kelihatan tetapi kesannya sangat besar dalam kehidupan. Mengapa? Ini kerana hanya dengan bertawakal kita boleh menjadi hamba Allah yang sebenar. Jika tidak kita akan sentiasa terhalang, malah terhijab terus daripada menjadi akrab dengan Allah. Halangan terbesar seseorang menuju Allah ialah kekhuatiran, kebimbangan, kesibukan kesukarannya mencari rezeki. Hati dan fizikal menjadi letih dalam mencari, menjaga dan menambah rezeki. Namun dengan tawakal, segala keletihan itu akan dapat diatasi.
Apabila kita bertawakal ertinya kita mewakilkan atau menyerahkan urusan kepada pihak yang lain. Dalam konteks ini, ‘pihak lain’ itu ialah Allah. Insya-Allah, apabila kita menyerah urusan kepada Allah hati kita akan teguh dan kukuh, tidak goncang dan goyah lagi.  Ini kerana kita yakin ‘wakil’ kita itu ialah zat yang Maha Gagah, Maha kaya, dan Maha sempurna.  Keyakinan itulah yang membuahkan ketenangan.
Justeru, menurut Abu Zakaria Ansari, tawakal itu ialah “Keteguhan hati dalam menyerahkan urusan kepada orang lain.” Bayangkan apabila seseorang Muslim dengan sepenuh hati berserah diri kepada Keagungan dan Kekuasaan Allah dalam berusaha sambil menunggu hasilnya dengan penuh sangka baik kepada Tuhannya.
Insya-Allah, seorang yang bertawakal akan mendapat sekurang-kurangan manfaat-manfaat berikut:
1) Ketenangan hati.
Orang yang bertawakal akan merasakan ketenangan memenuhi hatinya, yakin, mantap, optimis dan reda. Ketenangan inilah yang dirasakan oleh Nabi Muhammad SAW ketika berada dalam gua. Ketika Sayidina Abu Bakar khuatir dengan keselamatan baginda, Nabi Muhammad SAW telah bersabda kepadanya “janganlah bersedih, kerana sesungguhnya Allah berserta kita. ”
Ketenangan inilah juga yang dirasai oleh Nabi Ibrahim ketika dilemparkan ke dalam api yang menyala-nyala. Baginda tidak endahkan pertanyaan manusia mahupun malaikat apabila berkata, “ Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Dialah sebaik-baik pelindung. ”

2) Kekuatan jiwa.

Bukan sahaja tenang, orang yang bertawakal juga akan mendapat kekuatan jiwa. Fitrah manusia, akan merasa kuat apabila ada sandaran atau ‘back up’  daripada pihak yang kuat. Orang yang  bertawakal merasa kuat berdepan dengan musuh yang ramai kerana merasakan Allah akan membantu mereka.
Inilah rahsia dalam medan Badar, apabila 313 tentera Badar mampu mengalahkan musuh yang lebih ramai. Firman Allah:  Ketika kamu memohon pertolongan kepada Rabb (Tuhan)-mu, lalu dikabulkan-Nya bagimu, “Sesungguhnya Aku (Allah SWT) akan mendatangkan bantuan kepadamu seribu malaikat yang datang bersambungan.” Dan tidaklah hal itu dijadikan oleh Allah untukmu kecuali sebagai berita gembira dan untuk menenteramkan hatimu. Dan tiada lain kemenangan itu kecuali datang dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha bijaksana. (Al Anfal: 9-10)
4) Diri yang reda
Apabila bertawakal, hati akan reda, pasrah dan menyerah atas segala ketentuan Allah sekalipun apa yang berlaku bertentangan dengan apa yang kita inginkan.  Jiwa merasakan apa yang berlaku semuanya baik-baik belaka. Tidak ada ruang untuk kecewa, marah dan putus asa. Semua ini impak daripada sangka baik kepada Allah yang tidak akan menyusahkan apalagi menzalimi hambanya.
Orang bertawakal akan terpujuk oleh firman Allah ini: Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi mu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi mu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.” (Al-Baqarah: 216). Justeru, ada ulama berkata, ”Selagi aku reda Kepada Allah sebagai pelindung, maka aku akan sentiasa mendapat jalan untuk setiap kebaikan. ”.
5) Harapan yang segar.
Orang yang bertawakal tidak akan putus harapan. Harapannya sentiasa segar dan tinggi sekalipun ketika dihenyak oleh ujian yang paling menggentarkan. Allah tidak akan mengecewakan ku, begitulah detik hati orang yang berserah nasibnya kepada Allah. Sentiasa ada ‘talian hayat’ dalam bentuk doa, solat dan sabar ketika diuji. Sekalipun, seluruh manusia telah berpaling, namun mereka yakin Allah tetap tidak berpaling kepada hambaNya yang bertawakal.
Bahkan semakin cemas dan beratnya ujian yang melanda, semakin dekat mereka rasakan bantuan Allah akan tiba. Firman Allah: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang “Aku” maka (ketahuilah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” ( Al Baqarah: 186)

Aku, Dia dan Kamu sebagai sahabat ^^

Semua orang didunia ada sahabat kan?mustahil kita tidak ada sahabat walaupun seorang..Apa makna sahabat?Bagi saya,sahabat merupakan antara orang yang paling dekat dihati kita.
Tanpa mereka,siapa jugalah kita kan?berikut saya senaraikan sikit antara hadis Nabi SAW berkenaan dengan makna sahabat;
"Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya."
(Hadis riwayat al-Hakim)
Dari Nu'man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda ;
"Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur."
(Hadis riwayat Muslim)
"Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati."
"Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya."
(Hadis riwayat Abu Daud).
Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud:
"Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk."

Dalam islam sendiri ALLAH menggalakkan kita bersahabat,berteman,berkasih antara kita dan sebab itulah ALLAH menjadikan kita berbilang kaum dan warna kulit agar kita dapat saling kenal dan hormat-menghormati. Nah!ini terbukti apabila turunnya ayat :
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." 
(surah al-Hujurat [049] ayat 13)
Sifat yang perlu ada sebagai seorang sahabat:
* Ikhlas bersahabat kerana ALLAH
* Redha menerima kekurangan sahabat kita
* Tidak mengharapkan kebaikan atau ada niat yang tersembunyi
* Sabar dan menegur sahabat dengan berhikmah
* Sayang sahabat kita seperti sayang diri sendiri
* Sanggup berkorban demi kebaikan sahabat
* Bertolak ansur dalam sesuatu perkara
* Berfikiran terbuka dalam menerima pendapatnya
Bersahabatlah kerana ALLAH,pasti indah perhubungan itu. Bersahabat juga tidak terlepas daripada berselisih faham, kita lah yang harus bijak menangani masalah itu. Jangan sampai terputus silaturrahim ini. Sahabat, maafkanlah setiap kesalahan sahabat-sahabatmu. Memohon maaf terlebih dahulu bukan bererti kita kalah atau salah tapi demi menjernihkan keadaan,tidak salah kan kalau kita tolak ego kita ketepi?


Saturday, November 10, 2012

Doaku dan Doamu



Ahmad dan Ali adalah dua orang sahabat baik dan mereka tinggal berjiran. Kedua-duanya hidup dalam kemiskinan dan kesempitan. Setelah seharian berusaha, masing-masing akan berdoa. Begitulah kelaziman mereka berdua. Mereka akan singgah di masjid setiap kali habis bekerja untuk solat dan berdoa.


"Apakah doamu pada hari ini?" tany Ahmad kepada sahabatnya, Ali.
"Aku berdoa agar esok hari aku dimurahkan rezeki. Bulan ini perbelanjaanku lebih daripada biasa," jawab Ali.
"Doamu?" Ali pula bertanya kepada Ahmad. Ahmad hany tersenyum tanpa berkata apa.

Keesokan harinya, Ali memberitahu Ahmad berita gembira. "Alhamdulillah, doaku semalam telah dimakbulkan Allah. Majikanku beri bonus pada hari ini."
"Alhamdulillah, hari ini kau akan berdoa apa pula?" tanya Ahmad.
"Aku berdoa moga isteriku selamat bersalin." jawab Ali.
Mereka berdua pun masuk ke dalam masjid lalu mengerjakan solat serta berdoa.

Sejurus usai berdoa, Ali bertanya, "Kau pula berdoa untuk apa hari ini?".
Ahmad tersenyum, masih tidak menjawab.
Beberapa hari kemudian, Ali memberitahu berita gembira. "Syukur isteriku selamat bersalin malam tadi. Nampaknya doaku makbul, Mad."
"Alhamdulillah... Tahniah, Ali."
"Aku berdoa juga agar anakku selamat," kata Ahmad dengan wajah muram.
"Kenapa dengan anakmu?"
"Anakku yang bongsu sakit, Ali. Keadaannya amat membimbangkan."
"InsyaALLAH, kau doalah kuat-kuat sikit. Minta anakmu selamat," kata Ali.

Beberapa hari kemudian, mereka berbual seusai solat seperti kebiasaannya.
"Bagaimana dengan anakmu?" tany Ali.
"Macam itu juga. Sudah beberapa hari tapi keadaannya cuma bertambah baik sedikit sahaja."
"Doa banyak lagi Ahmad. Aku tidak sangka doaku sangat makbul. Hampir setiap yang aku doakan mustajab. Tapi kau......"
"Kenapa dengan aku?"
"Mad, aku lihat Ahmad doamu tidak mustajab." Ahmad tersenyum...
Melihat Ahmad tersenyum, Ali semakin hairan lalu bertanya lagi, "Aku hairan, doamu tidak mustajab."
"Sebenarnya doaku telah banyak dimakbulkan Allah. Syukur Alhamdulillah."
"Doa yang mana? Sebab aku lihat tiada tidak ada apa-apa perubahan pada kau."
"Doaku sejak dulu hanya untukmu sahabatku. Setiap hari aku berdoa agar Allah makbulkan setiap apa yang kau doakan padaNYA.